Wednesday, June 30, 2010

Sesi Perjumpaan Bersama PPTI dan Getrahome Mengenai Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan sesi pertemuan dengan Getrahome mengenai status pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora pada butiran berikut:

Tarikh : 30 Jun 2010 (Rabu)
Masa : 10.00 Pagi
Tempat : Site Office Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha, seorang AJK dan seorang penduduk Taman Ixora. Pihak Getrahome telah diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Pengarah Pembangunan dan Hartanah dan 4 orang wakil daripada kontraktor.

Berikut adalah keputusan yang dibuat semasa perjumpaan berkenaan:
1. Anggaran kos pembinaan surau adalah RM100,000
2. Pihak Getrahome bersetuju untuk menyumbang RM50,000 bagi pembiayaan kos projek
3. Persatuan Penduduk Taman Ixora diminta mengumpulkan dana daripada individu, syarikat korporat dan agensi kerajaan bagi membiayai baki kos projek
4. Tempoh pelaksanaan projek adalah empat (4) bulan dan tarikh jangka siap projek adalah 1 Januari 2011
5. Pelan surau adalah berkonsep terbuka (contohnya di R&R Lebuh Raya Utara Selatan)

Pihak PPTI mengucapkan terima kasih kepada pihak Getrahome yang telah meluangkan masa untuk sesi perjumpaan berkenaan dan memberikan sumbangan untuk membiayai separuh kos projek pembinaan surau di Taman Ixora. Semoga kerjasama yang diberikan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Monday, May 10, 2010

Kelulusan Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora

Jabatan Agama Islam Selangor telah meluluskan permohonan daripada Persatuan Penduduk Taman Ixora untuk membina sebuah surau di Taman Ixora melalui surat Ruj : Bil (10) dlm. JAI. SEL. BPM/01/030/5 bertarikh 3 Mei 2010.

Permohonan yang diluluskan oleh JAIS adalah:-
- Nama Surau - Surau Balai Islam Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, 43900 Sepang, Selangor
- Lokasi Tapak - Lot PT 1803, Jalan 66 Mukim Dengkil, 43900 Sepang, Selangor.

Kelulusan pembinaan ini tertakluk kepada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JAIS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pihak persatuan diminta berurusan dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menentukan arah Kiblat sebelum kerja-kerja pembinaan surau diluluskan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora mengucapkan syukur Alhamdulillah, syabas dan tahniah kepada semua individu dan pihak yang terlibat sehingga kelulusan pembinaan sebuah surau di Taman Ixora diperolehi. Semoga Allah Subhanahu Wata'Ala memberikan rahmat kepada semua.

Monday, March 1, 2010

Sesi Pertemuan Dengan Orang Besar Daerah Sepang

Pada 1 Mac 2010 (Isnin) jam 4.30 petang, Persatuan Penduduk Taman Ixora telah mengadakan pertemuan dengan Y.D.M. Prof. Tengku Dato' Dr. Jamaluddin Bin Tengku Mahmud Shah Al Haj, Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang bagi membincangkan permohonan untuk membina surau di Taman Ixora. Sesi pertemuan berkenaan telah diadakan di Pejabat Orang Besar Daerah Sepang, Bangunan Tun Aziz, BB Salak Tinggi dan PPTI telah diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha dan Penolong Setiausaha.

Hasil daripada pertemuan berkenaan, Pak Engku tidak menyokong cadangan untuk membina surau di Taman Ixora kerana tapak surau adalah berdekatan dengan masjid (dalam jarak 2km). Walaubagaimanapun beliau bersetuju dan menyokong penuh cadangan untuk membina sebuah Balai Islam di tapak berkenaan untuk kemudahan penduduk menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Persatuan Penduduk Taman Ixora merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian Pak Engku untuk berjumpa dengan wakil PPTI dan menyokong cadangan membina Balai Islam di Taman Ixora. InsyaAllah proses untuk membina Balai Islam di tapak berkenaan akan dimulakan sedikit masa lagi.

Sesi pertemuan berakhir jam 5.30 petang.

Wednesday, February 24, 2010

Gambar Lokasi Tapak Balai Islam Taman Ixora




Gambar Lokasi Tapak Balai Islam Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor bertarikh 23 Februari 2009 bersamaan 9 Rabiulawal 1431H.

Sunday, January 31, 2010

Kelulusan Pembinaan Surau Balai Islam Taman Ixora

Pada 31 Januari 2010 (Ahad), jam 12.15 tengahari satu sesi perbincangan di antara wakil Persatuan Penduduk Taman Ixora dan Pemaju (Getrahome) telah diadakan bertempat di Pejabat Jualan Getrahome, Jalan Ixora 1/9. PPTI telah diwakili oleh Pengerusi, Setiausaha, Pen. Setiausaha dan 2 orang AJK manakala pemaju diwakili oleh En. Zulkifli Bin Sahar, Pengarah Pembangunan Hartanah Getrahome membincangkan mengenai status pembinaan Balai Islam di Taman Ixora. Ini adalah perbincangan kali kedua mengenai status pembinaan Balai Islam di Taman Ixora.

Berikut adalah hasil daripada perbincangan tersebut:-
1. Pemaju memaklumkan tapak Balai Islam dan Dewan Serbaguna telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Sepang.
2. Anggaran kos pembinaan Balai Islam berkenaan adalah RM100,000.
3. Kos pembinaan akan ditanggung secara bersama di antara pemaju dan sumbangan penduduk. Dicadangkan perkongsian 50:50.
4. Persatuan akan melancarkan tabung untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai, badan korporat, Ahli Parlimen, ADUN dan sebagainya untuk mengumpulkan dana sebanyak RM50,000.
5. Persatuan akan mengemukakan surat permohonan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai pembinaan Balai Islam di Taman Ixora. Pihak pemaju akan mengemukakan surat sokongan mengenai permohonan berkenaan.
6. Kedua-dua pihak bersetuju menetapkan anggaran siap pembinaan Balai Islam pada bulan Ogos 2010.
7. Pemaju memberi jaminan tempoh siap untuk membina sebuah Balai Islam adalah 3 bulan daripada tarikh mula pembinaan.
8. Pihak pemaju telah mengemukakan contoh pelan Cadangan Membina Sebuah Surau di Jalan Kebun, Klang, Selangor sebagai rujukan persatuan.

Perbincangan berakhir jam 1.30 petang.